The Red Giants

EN
MY
Selangor FC
SELANGOR FC
BERITA

Selangor 2 Diumumkan Secara Rasmi

Feb 26, 2020 - FAS

Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) hari ini mengumumkan pengenalan pasukan Selangor 2 yang merupakan sebuah feeder team untuk pasukan utama Red Giants.

Objektif penubuhan feeder team ini adalah untuk membangunkan bakat-bakat muda bagi skuad utama Selangor, memberi landasan yang lebih baik untuk mengetengahkan bakat-bakat baru, selain menjamin kelangsungan kelab untuk jangka masa panjang.

Pasukan ini bakal bersaing bersama pasukan-pasukan lain secara kompetitif di Liga Premier, liga tangga kedua di Malaysia.

Untuk musim pertama ini, skuad Selangor 2 bakal dilengkapkan dengan penyertaan seorang pemain import dari Kosovo iaitu Bajram Nebihi dalam usaha untuk memastikan pasukan tersebut mampu memberikan saingan yang positif di liga tersebut selain memberi tunjuk ajar dan perkongsian pengalaman bersama-sama para pemain muda Selangor.

Rata-rata pemain Selangor 2 diperkuatkan dengan pemain-pemain muda dari skuad belia dan presiden Selangor dan PKNS FC serta graduan Akademi Mokhtar Dahari (AMD).

Antara pemain-pemain muda skuad Belia dan Presiden Selangor pada musim lalu yang dijangka akan mencuri tumpuan untuk Selangor 2 pada musim ini adalah Sharul Nazeem (Ketua Pasukan), Sharvin Selvakumaran, Faris Kamardin, Syazwan Salihin dan Aqil Fadhly. 

Penggabungan FAS dan PKNS FC juga memperlihatkan prospek muda skuad Semut Merah seperti Mior Dani Armin, Raja Imran Shah Raja Amin, Ashraf Nasir dan Shivan Pillay juga bakal menyarung jersi Selangor 2 bagi musim ini.

Selain itu, graduan AMD seperti Azrin Afiq, Harith Haiqal dan Sikh Izhan juga turut disenaraikan untuk memperkasakan pasukan feeder team Red Giants ini.

Bekas pemain PKNP yang mencuri tumpuan ketika saingan Piala Malaysia musim lalu, Mukhairi Ajmal dan Firdaus Irman turut memperkasakan pasukan Selangor 2. 

Lebih menarik, pemain kacukan Malaysia-Australia yang pernah bermain untuk pasukan bawah 23 tahun Malaysia sewaktu temasya Sukan SEA yang lalu, Quentin Cheng juga bakal memperkuatkan barisan pertahanan Selangor 2.

Pasukan Selangor 2 ini bakal dilatih oleh pengarah teknikal Selangor, Michael Feichtenbeiner yang turut memegang profil ketua jurulatih Selangor 2 dari Jerman.

Michael merupakan seorang jurulatih yang mempunyai pengalaman dalam membentuk bakat-bakat muda di liga utama Eropah dan beliau akan dibantu oleh bekas pemain dan juga legenda Selangor iaitu Rusdi Suparman serta Aslam Najmudeen selaku pembantu ketua jurulatih.

Lebih menarik, antara nama besar lain yang membarisi staff kejurulatihan skuad Selangor 2 adalah bekas jurulatih penjaga gol negara dan NFDP, Lim Chuan Chin yang pernah menggilap bakat penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat dan Farizal Marlias, serta bekas jurulatih kecergasan skuad bawah 22 negara yang juga pernah berkelana di liga Vietnam, Mashidee Sulaiman.

FA Selangor berharap penubuhan dan pengenalan skuad Selangor 2 ini bakal memberikan impak positif kepada industri bola sepak negeri Selangor terutamanya dari segi pembangunan akar umbi selain memperkasakan transformasi kelab ini secara menyeluruh.


SENARAI PENUH SKUAD SELANGOR 2

Penjaga gol: Haziq Ridwan, Sikh Izhan, Firdaus Irman, Aqil Fadhly
Pertahanan: Sharul Nazeem, Harith Haiqal, Quentin Cheng, Aidil Azuan, Zikri Khalili, Azrin Afiq, Shivan Pillay, Iqmal Ramlan, Raja Imran
Pemain Tengah: Khairul Naim, Syazwan Salihin, Bajram Nebihi, Mior Dani, Fazrul Zeky, Saravanan Thirumurugan, Sharvin Selvakumaran, Faris Kamardin, Mukhairi Ajmal, Ashraf Nasir, Armin Maier
Penyerang: Ahmad Danial, Azizul Baharuddin, Nazrin Nasir